TAJUK:TANGGUNGJAWAB DAN PERANAN SUAMI DAN
FAKTOR-FAKTOR PENINGKATAN PERCERAIAN DI KALANGAN PASANGAN
MUDA
(SIRAH NABAWIYAH DAN AKHLAK)
1. PENGENALAN.
Perkahwinan di dalam Islam merupakan satu sistem yang membenarkan
fitrah kemanusiaan.Menjaga kemaslahatan kemasyarakatan dan menitikberatkan
soal-soal permurnian hukum hakam yang berkait rapat pada peringkat awal
peminangan dan seterusnya melangsungkan perkahwinan.Namun peningkatan
perceraian lebih sedekad lalu telah mencecah
lebih dari 200,000 kes
dengan peceraian hampir 80 peratus di kalangan umat Islam di Malaysia melibatkan
usia perkahwinan tidak lebih 10 tahun! Ini amat mengejutkan.Tugasan ini akan mengupas
faktor-faktor penyebab kegawatan
rumahtangga dan akan cuba menawarkan solusi bagi mencari penyelesaian.
Kajian ini akan memfokuskan kepada tanggungjawab dan
peranan suami sebagai ketua keluarga kerana suami diibaratkan sebagai nakhoda
yang akan memacu ke arah mana bahtera yang sepatutnya menuju menempuh laut
gelora.Suami merupakan individu penting yang akan mengepalai institusi kekeluargaan
di samping sokongan isteri.Seorang nakhoda wajib mempunyai wawasan dan hala
tuju yang tepat.Oleh yang demikian seorang suami wajar mempunyai ilmu sebelum
dapat menjadikan rumahtangganya bahagia seperti yang diinginkan ,syurga yang
didahulukan.
2. TANGGUNGJAWAB DAN PERANAN SUAMI.
Seorang suami perlu mempunyai naluri ketua di mana
pengaruhnya sebagai ketua mestilah selari dengan sunnah Rasulullah SAW.Pembawaan
sikap akan menentukan corak rumahtangga yang baru dibina.Di mana seorang suami
wajar memiliki sifat-sifat jujur , sabar , faham dan tahu tanggungjawab dan
peranannya sebagai suami , matang dalam menangani masalah-masalah yang timbul
baik di dalam lingkungan kekeluargaan atau kehidupan luarannya.
Sebagai seorang suami sebaik saja mendirikan
rumahtangga telah ada di hadapannya tanggungjawab yang besar sebagai ketua
keluarga.Persediaan sebelum mendirikan rumahtangga dari segi mental dan fizikal
sewajarnya telah dipupuk sebaik saja berkira-kira untuk berumahtangga.Islam sendiri
telah menggariskan beberapa kriteria yang boleh dijadikan rujukan kepada lelaki
yang berhajat untuk mendirikan rumahtangga.Pertamanya seorang suami wajib
menyediakan tempat tinggal.Firman Allah SWT di dalam surah at-Talaq ayat 6 yang
bermaksud; “tempatkanlah isteri-isteri itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan
kemampuan kamu”.
Sebagai ketua keluarga , suami wajib menyediakan
tempat tinggal untuk ahli keluarganya berlindung.Tempat tinggal yang disediakan
mestilah selesa dan tidak mendedahkan ahli keluarganya kepada bahaya seperti
gangguan manusia dan haiwan,mempunyai infrastuktur yang mencukupi seperti
bekalan eletrik dan air.Sesuai dengan
tuntutan kehidupan zaman ini.Tempat tinggal
juga menjadi sumber ketenangan kepada ahli-ahli di dalamnya.Wujud suasana
tenang akan mengeratkan lagi hubungan sesama mereka.Oleh itu
keselesaan,kebersihan dan keaturan mestilah diutamakan.Tidak perlu dilonggokkan
bermacam-macam perhiasan mewah untuk menimbulkan suasana yang tenang.Bersih,teratur
dan kemas sudah memadai membentuk ketenangan di dalam jiwa ahlinya.
Perkara kedua yang perlu diambil perhatian penting
oleh setiap lelaki yang bercita-cita menjadi suami ialah pemberian nafkah kepada
isterinya.Suami berkewajipan memberi nafkah kepada isteri menurut kadar
kemampuannya.Dalam ertikata lain ia memberi maksud berdosa jika tidak ditunaikan
nafkah kepada tanggungannya itu.Nafkah pula berbentuk nafkah zahir dan nafkah batin. Hal ini
telah ditegaskan di dalam surah at-Talaq ayat 7 yang bermaksud ;
“ hendaklah orang
yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya..”
Pengertian nafkah ini termasuklah dari segi makan
minum,pakaian dan peralatan yang munasabah sesuai bagi keperluan seorang isteri
mengikut kemampuannya.Sabda Rasulullah SAW
“…dan wajib ke
atas kamu memberikan mereka (isteri-isteri) mereka dan pakaian mereka
dengan baik”.
Manakala nafkah batin dapat diertikan sebagai hubungan
seksual suami isteri.Tetapi jika boleh diperluaskan lagi maksudnya kasih
sayang,adil,bertimbang rasa juga dinisbahkan sebagai nafkah batin.
Seharusnya para suami telah memaklumi akan
tanggungjawab memberi nafkah kepada isterinya.Ini termasuk juga keperluan asas
bagi si isteri apabila hak walinya telah diserahkan kepada lelaki yang bergelar
suami kepada anaknya. Menghairankan jika bertahun-tahun tinggal bersama
ibubapanya, diberi makan minum,pakaian dan tempat tinggal tetapi sebaik
mendirikan rumahtangga hak menanggung keperluan yang dinyatakan tidak diambil
berat oleh pihak suami.
Pihak suami juga wajarlah menerangkan kepada isteri , kemampuan
dirinya dalam menyediakan segala bentuk yang berkaitan nafkah.Kejujuran dalam
menjelaskan hal-hal yang berkaitan kerumitan rumahtangga adalah lebih baik dari
menyembunyikan hakikat ketidakmampuan pemberian nafkah .Boleh jadi sikap ini
melapangkan isteri dan seterusnya bersama-sama mengambil usaha untuk mengurangkan
beban pasangan.
Perkara ketiga ,seorang suami perlu berlaku adil dalam
menangani apa juga permasalahan yang timbul.Seorang suami hendaklah mempunyai
sikap bertimbang rasa,berlemah lembut,bermanis muka dan sentiasa menghargai
pasangannya.Tidak dinafikan akan wujud pergeseran kecil di dalam sejarah
rumahtangga yang dibina.Sikap suami dalam menangani pergeseran ini dengan bijak
dan matang akan dipandang tinggi dan dihormati pasangannya.Pergeseran itu
jangan diperbesarkan.Suami perlu menahan diri dari menyakiti dan bertindak
kasar dengan perbuatan yang boleh memudaratkan isteri.Jika isteri perlu untuk
menziarahi atau diziarah oleh pihak keluarganya berilah izin.
Keempat,sebagai pemimpin , suami juga punya peranan merapatkan
hubungan kekeluargaan baik di pihaknya,mertua dan masyarakat sekeliling.Apatah
lagi di pihak isteri kerana beliau telah diamanahkan menjaga anak keluarga
mertuanya.Ikatan kekeluargaan yang kukuh di kedua-dua belah pihak dapat
menimbulkan sifat saling hormat menghormati.Sebagai tauladan di dalam memimpin
rumahtangga suami tidak boleh melepaskan urusan rumahtangganya kepada pihak
isteri semata-mata.Suami mesti mempunyai sikap saling membantu isteri
menyelesaikan kerja-kerja rumah.Dalam konteks perkerjaanpun ,seorang ketua di
pejabat mesti mengambil tahu perjalanan kerja orang bawahannya sesuai dengan
objektif organisasi.Begitu juga di alam rumahtangga suami mesti mengambil tahu
perjalanan urusan rumahtangga.Suami tidak tahu apa yang telah dilalui oleh
isteri dalam urusan rumahtangga sepanjang hari.Kesulitan yang dilaluinya
adakala tidak terdaya diselesaikan oleh kudrat seorang wanita.Sebagai suami kesediaan
memberi bantuan menyelesaikan kerja-kerja rumah akan menjemput rasa hormat isterinya.
Kelima, suami juga berperanan membawa ahli keluarga ke
arah kehidupan berlandaskan syarak.Sebagai ketua keluarga,adalah penting
didikan keagamaan menjadi keutamaan kehidupan.Nilai-nilai murni mesti
diterapkan sewaktu kecil dan berterusan hingga ke akhir hayat kerana ia
merupakan elemen penyelesaian secara holistik.Asmah Bee Mohd Nor (2003) telah
menjelaskan berkenaan ini , “pengetahuan
tentang hal-hal keagamaan dipentingkan dalam sesebuah keluarga Islam,disebabkan
pengetahuan keagamaan ini akan dapat menjadikan individu dapat berfikir dan
bertindak sesuai dengan fitrah insaniah yang diberikan oleh Allah swt kepada
umatnya di mukabumi ini.”
3. FAKTOR-FAKTOR PERCERAIAN.
Namun seperti fakta awal perceraian yang dinyatakan di atas tadi lebih sedekad yang lalu jumlah
perceraian telah meningkat lebih dari 200,000 kes dan lebih daripada 80 peratus
perceraian melibatkan usia perkahwinan di bawah 10 tahun. Statistik perceraian
yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia sejak tahun 2003 hingga Disember 2013 telah direkodkan
sebanyak 581,505 kes telah didaftarkan.Kes perceraian di bawah seksyen 47
Enakmen Keluarga Islam Negeri direkodkan
sebanyak 16,865 kes.Kes fasakh di bawah seksyen 52 sebanyak 5,528,manakala
pengesahan cerai luar mahkamah menyumbang kepada 12,111 dan tebus talak atau
khulu’ sebanyak 86 kes.Mengapa ini terjadi ?.Tugasan ini akan mengupas empat
faktor utama yang menjadi punca perceraian.
Secara umumnya, faktor yang menyumbang kepada perceraian
ini amat banyak.Hambatan kehidupan di zaman sains dan teknologi dan kepesatan
teknologi maklumat ini boleh diibaratkan dunia tanpa sempadan yang memberi
kesan kepada struktur sosial kehidupan.Manusia dapat berhubung tanpa had waktu
dan geografi.Faktor utama di sini yang dapat disimpulkan ,pertamanya keagamaan
atau budaya,seksual,kewujudan pihak ketiga dan akhirnya suami atau isteri yang
tidak bertanggungjawab.
Faktor pertama menyumbang ke arah perceraian adalah
disebabkan kurang atau tiadanya penghayatan nilai-nilai murni hidup beragama
dalam kehidupan suami isteri.Kurang penghayatan ini mengakibatkan pengabaian
tanggungjawab antara suami dan isteri.Ini akan menjurus kepada pengabaian solat
yang merupakan pengikat jiwa hamba dan Allah
swt dan seterusnya mengikat kerukunan hidup suami dan isteri.Apabila hati telah
jauh dari rahmat Allah maka berlakulah pengabaian nafkah,pengabaian mendidik
isteri dan anak-anak.Pemberian nafkah tidak lagi menjadi tanggungjawab suami .Maka
berlakulah situasi di mana isteri-isteri terpaksa mencari nafkah sendiri dengan
bekerja di pusat-pusat perniagaan , kilang-kilang , berniaga kecil-kecilan dan
sebagainya.Apa yang lebih membimbangkan ada isteri-isteri yang terpaksa menjadi
peminta sedekah.Suami pula beranggapan isteri boleh menyelesaikan masalah
nafkahnya sendiri.Dan yang mengejutkan lebih daripada 60 peratus perceraian
berpunca dari masalah ini.
Lebih malang lagi apabila terdapat pasangan suami
isteri yang baru usia perkahwinannya mencecah lima tahun terpaksa bercerai
berai disebabkan masalah ini.Sedangkan pasangan muda telah diberi pendedahan
mengenai tanggungjawab memberi nafkah.Kursus-kursus pra perkahwinan juga telah
menerapkan kepentingan menafkahi isteri sesuai dengan ajaran islam. Kemungkinan
pengabaian disebabkan hutang yang banyak menjadi punca.
Faktor kedua yang menyumbang kepada perceraian ialah
wujudnya orang ketiga.Kewujudan orang ketiga ini bukanlah kekasih gelap semata-mata
tetapi sikap ahli keluarga pasangan juga
menjadi punca.Seringkali kedengaran gara-gara wujudnya orang ketiga ini
menyebabkan porak perandanya rumahtangga.tiada kebahagian berumahtangga akibat
tertekan dengan sikap tidak bertanggungjawab pasangan menyebabkan suami atau
isteri mudah menceritakan aib pasangannya kepada orang yang tidak
bertanggungjawab.Jika isteri menceritakan permasalahan pasangannya kepada rakan
lelaki dan begitu juga sebaliknya ini akan mengundang bahaya besar.
Banyak telah didedahkan di media cetak tentang
orang-orang yang tidak bertanggungjawab ini menangguk di air keruh.Permulaannya
disebabkan simpati dengan nasib yang menimpa rakan sekerja.Tetapi akhirnya
mengambil peluang atas kesusahan orang
lain dengan menjalin hubungan dengan suami atau isteri orang.Kononnya menjadi
pendengar yang setia.Suami atau isteri pula begitu mudah meletakkan kepercayaan
kepada orang lain apabila berkongsi masalah rumahtangga.Sikap ini lama-kelamaan
mewujudkan kepercayaan tidak mengapa dan rentetan itu berlakulah keluar makan
bersama,berkongsi kereta bersama.Perkara yang menjadi rahsia suami isteri habis
diceritakan kepada orang lain.Menjadi lebih parah apabila timbulnya perasaan
simpati dan sayang kepada yang menceritakan masalah.
Di kalangan keluarga terdekat juga menjadi punca
keretakan hubungan antara suami dan isteri.Lazimnya, keluarga mempunyai sikap
melindungi terhadap anak-anak atau mempunyai ikatan kekeluargaan.Tidak dinafikan
sikap ini bagus tetapi ia sesuai untuk situasi yang lain.Dalam konteks
kerukunan rumahtangga tidak sepatutnya ahli keluarga yang lain masuk campur
urusan rumahtangga dan kemudian
menghasut pasangan suami isteri supaya bercerai.Memang perlu ahli
keluarga mengambil tahu situasi pergolakan rumahtangga pasangan tetapi berfungsi
hanyalah untuk menasihati pasangan terbabit berbaik semula.
Faktor ketiga ialah tiadanya sikap bertanggungjawab
suami atau isteri dalam kehidupan rumahtangga yang dibina.Adalah menghairankan
sebelum berkahwin pasangan muda bercinta umpama mereka sahajalah yang wujud di
dunia ini. Ke mana pergi hanya berdua dan berjanji setia.Namun hidup tidak
sebumbung tidaklah sama ketika sudah menjadi pasangan suami isteri.Semuanya
menuntut perkongsian bersama termasuk sikap baik dan buruk pasangan.Panas tidak
sampai ke petang.perceraian juga jalan terakhir.
Mengapa ini berlaku?Sebenarnya keseronokan semasa
bercinta bukanlah isyarat kebahagian rumahtangga yang akan dibina. Di dalam
rumahtangga wujud unsur perkongsian hidup bermula dari sekecil-kecil perkara
hingga ke yang lebih besar.Wujud tanggungjawab yang besar kerana masing-masing
ada peranan yang diamanahkan.Tanggungjawab inilah yang lazimnya pasangan muda
selalu abaikan kerana masih terbawa-bawa corak hidup bebas sebelum pernikahan.Sesetengah
daripada mereka tidak bersedia apabila berdepan tanggungjawab seperti menemani
isteri ke hospital,membeli barangan keperluan dapur dan lain-lain keperluan
rumahtangga.
Pasangan muda yang mendirikan rumahtangga lazimnya
tidak matang dari segi pemikiran.Memang benar mereka telah aqil baligh dan
layak untuk bernikah di bawah peruntukan 18(1),(a) Enakmen Undang-Undang
keluarga Islam negeri.Tetapi dalam menghadapi kegawatan rumahtangga bukan aqil baligh saja ramuan untuk
mengekalkan keharmonian dan kebahagian rumahtangga berterusan.Ia juga perlu
kepada kematangan dalam berfikir dan mengambil keputusan.Prof. Datuk Dr. Sidek Baba menjelaskan dalam Harian Metro
bertarikh 12 Disember 2013 , “Perkahwinan
itu adalah ikatan dua jiwa.Sekiranya mereka tidak serasi dalam perhubungan,maka
pemikiran yang baligh itulah yang akan menjadi tonggak keutuhan dalam rumahtangga
bagi mencari penyelesaian terhadap sesuatu masalah yang dihadapi.”
Rentetan dari itu timbullah berbagai karenah pasangan
di dalam mencari jalan keluar kepada kemelut rumahtangga.Pasangan muda
mengambil jalan mudah dengan tidak mengendahkan lagi tanggungjawab yang
sepatutnya diutamakan.Suami akan mencari rakan-rakan sebaya lalu berhibur
seperti kehidupan bujang dulu.Isteri pula tidak lagi kisah dengan
tanggungjawabnya dan kembali ke pangkuan keluarga.Masing-masing mengambil jalan
mudah dan tidak lagi berfungsi sebagai suami dan isteri yang matang.
Akhir sekali faktor keempat iaitu faktor seksual.Sudah
tentu antara tuntutan pernikahan adalah menghalalkan hubungan seksual antara
lelaki dan wanita,kerana di situ wujudnya sikap kebertanggungjawaban antara
kedua-dua pasangan.Pasangan pula mencari kepuasan dalam hubungan fizikal dan
batin demi kebahagian jiwa.Fitrah manusia sudah sewajarnya puas apabila
tuntutan seksualnya dipenuhi.Tidak hanya tertakluk kepada manusia bahkan haiwan
juga bisa memberontak jika tidak mendapat pasangannya.
Oleh itu pasangan muda yang mendirikan rumahtangga
perlu meneliti kehendak batiniah terhadap pasangan masing-masing.Menurut Ketua
Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Tan Sri Dr. Ibrahim Lembut , kedinginan pasangan terhadap satu sama
lain,tiada kepelbagaian dalam seks dan tiada kepuasan seksual antara punca
tertinggi dalam menyumbang kepada perceraian.Mereka mengambil mudah isu ini
disebabkan ia suatu isu yang eksklusif dan tidak wajar dibincangkan bersama
pasangan,orang tuanya atau mereka yang pakar.Budaya timur sebelah sini
juga tidak menjadikan ia sebagai satu
perkara yang wajar diperbincangan umum.Berbeza pula negara di sebelah barat,
mereka lazim dan berasa perlu isu ketidakpuasan dalam hubungan seksual dibincangkan
secara terbuka sesama pasangan.
Apabila tidak mencapai kepuasan dalam hubungan seksual
ia akan menjurus kepada kecacatan jiwa.Akibatnya membawa kepada kemurungan.Si
suami umpamanya tidak berpengalaman dan tidak berbincang bagaimana cara yang
boleh membawa kepada kepuasan seksual pasangannya begitu juga sebaliknya.Si
suami pula malu untuk merujuk kepada pakar jika terdapat kelemahan diri dari
segi hubungan intim bersama isteri.Perkara ini memang tampak terlalu peribadi
dan isu rahsia alam rumahtangga tetapi natijah yang membawa kepada perceraian
amatlah tinggi.
4. CIRI-CIRI SUAMI YANG SEMPURNA.
Konklusif kepada kegawatan rumahtangga dan
faktor-faktor yang menyumbang ke arah perceraian sebenarnya ada penawarnya.Islam
itu sendiri membawa maksud selamat.Sudah tentu individu yang menjiwai ajaran-ajaran Islam dan dipratikkan
di dalam rumahtangga dapat menghindari dari berlaku sedemikian.Rasulullah SAW,
merupakan role model kepada semua suami yang berhasrat mempunyai sebuah
rumahtangga yang aman bahagia,harmoni dan saling mengasihi ,syurga yang
didekatkan.
Baginda Rasulullah SAW adalah suri teladan kepada kita
kerana baginda adalah individu agung yang telah menunjukkan sifat-sifat terpuji
sebagai pemimpin rumahtangga.Bukan saja sejarah telah merakamkan kemuliaan
baginda sebagai suami yang penyabar,berkasih sayang,menghargai
isteri-isterinya,menghormati mereka malah Allah swt juga telah membenarkan
seperti dalam firmannya dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud;
“ demi sesungguhnya,adalah bagi kamu pada
rasulullah itu contoh ikutan yang baik,iaitu bagi orang yang sentiasa
mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) di hari akhirat serta ia pula
menyebut dan mengingat Allah sebanyak-banyaknya (dalam masa susah dan senang)”
Pertama, jelas terlihat bagaimana rasulullah sendiri
berhadapan dengan kaum wanita lebih-lebih lagi para isterinya.Sifat amanah
merupakan salah satu ciri suami yang terbaik kerana ia merupakan kunci kepada
kebahagian rumahtangga,malah Rasulullah sendiri berpesan kepada kaumnya tentang
amanah Allah yang telah diambil seperti di dalam khutbah Haji Perpisahan pada
10 Hijrah “bertakwalah kepada Allah dalam
soal wanita kerana kamu telah mengambil mereka dengan amanah Allah.”
Sebagai suami sepatutnya kita bersikap amanah
sebegitu.Apabila mendirikan rumahtangga seorang lelaki bergelar suami perlu
sedar bahawa dia telah menerima amanah dari bapa mertuanya dan juga amanah Allah
bagi memimpin isteri dan anak-anaknya.Seorang suami yang sedar peri pentingnya
amanah ini tidak akan mensia-siakan anugerah nikmat berumahtangga yang telah
diberikan kepadanya.
Kedua,Rasulullah SAW dikenali sebagai seorang yang
tinggi tahap kesabarannya.Ini jelas seperti yang diberitahu oleh isterinya Saidatina
Aisyah ,“Rasulullah tidak pernah
sekalipun memukul isteri dan pembantunya.” (hadis riwayat Bukhari).Sememangnya
sifat penyabar Rasulullah itu bukan sahaja membawa kesan di dalam kehidupan
berkeluarganya malah ke atas dakwah baginda juga.Sebagai suami ,amat wajarlah kita memiliki sifat sabar.Sabar menghadapi
karenah isteri yang berbagai yang kadangkala tidak terjangka wujud pengeseran
antara dua jantina yang berlainan fitrahnya.Wanita pula dilahirkan memiliki
sifat yang sensitif terhadap
persekitaran terutama emosi dalamannya.Ini berkait rapat dengan hormon yang
kadangkala menjadikannya tidak stabil dari segi jasmani dan mentalnya.Di sinilah
perlunya kebijaksanaan dan kesabaran dalam mendidik isteri.Suami tidak harus
terikut-ikut dengan rentak emosi isteri.Didiklah dengan penuh kesabaran dengan
kekuatan akal yang telah Allah kurniakan seperti kisah seorang wanita yang
bertanya tentang haid,lalu Rasulullah SAW menjawab;
“Ambillah
sepotong kain perca yang sudah dikasturikan lalu berwuduk dengannya.” Perempuan
itu terpinga-pinga kerana tidak memahami keterangan Rasulullah. Lantas dia
mengulangi lagi pertanyaannya: “Bagaimana saya hendak berwuduk dengan itu?”
Sekali lagi Rasulullah mengulangi jawapan baginda. Tetapi perempuan yang
bertanya masih belum memahaminya. Lalu Rasulullah SAW meminta kepada Siti
Aishah r.a. supaya menerangkan kepada perempuan itu. Maka Siti Aishah pun
berkata: “Ambil sepotong kapas yang bersih, lalu letakkan di tempat darah. Jika
kapas itu tetap putih tanda haid sudah berhenti.”
Begitulah akhlak yang wajar dicontohi,tidak
mudah melenting dengan sikap isteri yang sememangnya lemah ketika mereka berada
dalam situasi berhadas contohnya.
Ketiga,didiklah
isteri dengan penuh kasih sayang.Mereka adalah teman hidup yang telah ditakdirkan
untuk kita.Sudah tentu punya banyak kelebihan dan kekurangannya.Cara pemikiran
dan pandangan wanita tidak sama dengan lelaki yang berfikir secara lurus.Ada keputusan
dalam rumahtangga dibuat tanpa melihat kesan sebaliknya.Mendidik dengan kasih
sayang bermakna membetulkan tindakan isteri yang tidak selari tanpa si isteri
sedari yang mereka telah berbuat salah.Sudah tentu ini memerlukan kebijaksanaan
suami.Suami yang sentiasa mengharapkan rahmat Allah sudah tentu ditunjukkan
jalan penyelesaiannya.
Cuba
lihat bagaimana Rasulullah SAW mendidik isteri-isteri baginda dengan penuh
kasih sayang dan kebijaksanaan ketika baginda ditanya ,isteri yang manakah yang
paling disayangi.Rasulullah tidak menjawab tetapi meminta isteri-isteri baginda
pulang dahulu dan akan diberitahu kemudian mengikut giliran masing-masing.Seperti
biasa setelah menggiliri bermalam di rumah isteri-isteri,baginda akan
meninggalkan sebentuk cincin dan meminta
perbuatan itu dirahsiakan.Itulah yang dilakukan kepada semua isteri-isteri
baginda.Tiba pada hari yang ditetapkan baginda ditanya lagi dan sudah tentu Aisyah
merasakan beliaulah yang paling disayangi kerana dia antara termuda di kalangan
isteri-isteri baginda.Lalu Rasulullah menjawab,isteri yang disayangi adalah
mereka yang telah diberi cincin .Sudah tentu isteri-isteri baginda tersenyum
tanpa mengetahui kesemuanya menerima cincin.
Keempat,Rasulullah
dikenali kerana baginda suka menghormati orang lain,bahkan haiwan dan kafir Quraisy
juga mendapat penghormatan baginda.Jika isteri bersalah sekalipun tidaklah
layak ianya dipukul kerana sekali ia dipukul bermakna penghinaan yang berbekas
di hati isteri.Isteri beranggapan bahwa ia tidak membawa makna dalam kehidupan
suaminya kerana menjadi tempat melepaskan kemarahan.Begitu juga tidak pantas
seorang suami melafazkan kata-kata cerca dan nista kepada isteri lebih-lebih
lagi di hadapan umum.Kita lihat bagaimana Rasulullah menghormati isterinya
ketika baginda pulang dari perjalanan jauh di pagi hari dengan perut kelaparan
lantas bertanyakan kepada Aisyah sekiranya ada makanan yang boleh dimakan.Aisyah
memberitahu mereka tidak punya makanan dan Rasulullah mengambil keputusan untuk
berpuasa pada hari tersebut. Jelas menunjukkan bahawa baginda tidak mahu
menyusahkan isterinya menyediakan makanan untuknya.
5. KESIMPULAN.
Demikianlah
beberapa solusi yang dapat dijadikan iktibar untuk para suami mengamalkan
sebagai persediaan berumahtangga.Sebenarnya ada banyak kaedah yang boleh
diambil melalui tunjuk ajar Rasulullah.Persengketaan di dalam rumahtangga
merupakan lumrah kerana di situ terkumpul dua jiwa yang berlainan naluri dan
emosi.Bagaimana persengketaan ditangani haruslah bagi suami sebagai nakhoda
mempunyai kebijaksanaan cara berfikir dan memutuskannya.Persediaan berumahtangga
menuntut suami bersedia dari segala segi kerana ia merupakan amanah dan paling
penting kebijaksanaan.
Namun
jika dilihat kesemua permasalahan perceraian yang berlaku pada hari ini ia
sebenarnya menjurus kepada iman.Pada hemat saya,iman merupakan paksi teguh yang
dapat membina jati diri seorang lelaki menjadi suami yang bertanggungjawab
bukan hanya kepada orang bawahannya malah bertanggungjawab juga kepada dirinya
sendiri.Iman dapat membentuk jiwa sukakan kehidupan berlandaskan ajaran-ajaran
murni Islam di segenap segi lapangan kehidupan termasuk alam rumahtangga.Iman
pula dapat dibentuk dengan mempelajari ilmu yang mengenal tuhan dan
mencintainya,mencintai rasulnya lebih dari segala-galanya.
Oleh
yang demikian saranan saya,pasangan muda yang berhasrat mendirikan rumahtangga
yang bahagia perlu memperlengkapkan diri dengan ilmu rumahtangga yang
sebenarnya dengan panduan kehidupan rumahtangga baginda Rasulullah SAW.Kursus perkahwinan
umpamanya, boleh menyelitkan modul ceramahnya dengan menjadikan sirah nabawiyah
sebagai rujukan bagaimana Rasulullah SAW mentadbir rumahtangga.ia tidak wajar
disampaikan sekali lalu tanpa kupasan mendalam kehidupan rumahtangga baginda.Pasangan
muda juga perlu diterapkan proses pembelajaran yang berterusan.Jika anda
sayangi pasangan anda pada hari ini dan tidak mahu berpisah di hujungnya selama
hayat anda maka hayati ilmu-ilmu ajaran islam yang murni ini.
(3100 patah perkataan)
APENDIX
SENARAI RUJUKAN.
Tafsir
al-Qur’an al-Karim
Safiyyu
Rahman.(2011).Sirah Nabawiyyah. Kuala Lumpur:Yayasan Dakwah Islamiah
Malaysia.
Nasih
Ulwan A.(1993).Pendidikan Anak-Anak Dalam
Islam.Singapura:Pustaka Nasional
Pte.Ltd.
Mohd.Nor
Manuty,Asmah Bee Mohd Nor,Noraini Ahmad,Jawiyah Dakir,Sarijah Haji Bejo,Kamilia
Ibrahim,et al.,(2001).Keluarga Bahagia
Yang Diidamkan.Kuala Lumpur:Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.
Rubiah K.Hamzah.(2010).Rawatlah Hati.Shah Alam:Karya Bestari
Kerajaan
Malaysia.(1984).Akta Undang-Undang
Keluarga Islam(Wilayah Persekutuan):Kuala Lumpur,Percetakan Nasional Malaysia
Berhad.
Haika
Khazi.(2011,September 7).200,000 Daftar
Cerai:Berita Harian.Retrieved Disember
10,2014,from http://sukawebnsso.penang.gov.my/pkn/Akhbar.nsf/ff4f9fa0a2840a8b482575e6002c4ea0/3b23d34dea3f22cc482579060008e780/$FILE/scan0001.pdf.
Hasimi
Muhamad.(2013,Disember 12).Kahwin
Muda:Bersediakah?:malaysiandigest.com.Retrieved Disember 11,2014,from http://www.malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/481480-kahwin-muda-bersediakah.html.