23 July 2015

ABST 1103-Sirah Nabawiyyah

TAJUK:TANGGUNGJAWAB DAN PERANAN SUAMI DAN
FAKTOR-FAKTOR PENINGKATAN PERCERAIAN DI KALANGAN PASANGAN MUDA
(SIRAH NABAWIYAH DAN AKHLAK)

1.         PENGENALAN.
Perkahwinan di dalam Islam merupakan satu sistem yang membenarkan fitrah kemanusiaan.Menjaga kemaslahatan kemasyarakatan dan menitikberatkan soal-soal permurnian hukum hakam yang berkait rapat pada peringkat awal peminangan dan seterusnya melangsungkan perkahwinan.Namun peningkatan perceraian lebih sedekad lalu telah mencecah  lebih dari  200,000 kes dengan peceraian hampir 80 peratus di kalangan umat Islam di Malaysia melibatkan usia perkahwinan tidak lebih 10 tahun! Ini amat mengejutkan.Tugasan ini akan mengupas  faktor-faktor penyebab kegawatan rumahtangga dan akan cuba menawarkan solusi bagi mencari penyelesaian.
Kajian ini akan memfokuskan kepada tanggungjawab dan peranan suami sebagai ketua keluarga kerana suami diibaratkan sebagai nakhoda yang akan memacu ke arah mana bahtera yang sepatutnya menuju menempuh laut gelora.Suami merupakan individu penting yang akan mengepalai institusi kekeluargaan di samping sokongan isteri.Seorang nakhoda wajib mempunyai wawasan dan hala tuju yang tepat.Oleh yang demikian seorang suami wajar mempunyai ilmu sebelum dapat menjadikan rumahtangganya bahagia seperti yang diinginkan ,syurga yang didahulukan.
2.         TANGGUNGJAWAB DAN PERANAN SUAMI.
Seorang suami perlu mempunyai naluri ketua di mana pengaruhnya sebagai ketua mestilah selari dengan sunnah Rasulullah SAW.Pembawaan sikap akan menentukan corak rumahtangga yang baru dibina.Di mana seorang suami wajar memiliki sifat-sifat jujur , sabar , faham dan tahu tanggungjawab dan peranannya sebagai suami , matang dalam menangani masalah-masalah yang timbul baik di dalam lingkungan kekeluargaan atau kehidupan luarannya.
Sebagai seorang suami sebaik saja mendirikan rumahtangga telah ada di hadapannya tanggungjawab yang besar sebagai ketua keluarga.Persediaan sebelum mendirikan rumahtangga dari segi mental dan fizikal sewajarnya telah dipupuk sebaik saja berkira-kira untuk berumahtangga.Islam sendiri telah menggariskan beberapa kriteria yang boleh dijadikan rujukan kepada lelaki yang berhajat untuk mendirikan rumahtangga.Pertamanya seorang suami wajib menyediakan tempat tinggal.Firman Allah SWT di dalam surah at-Talaq ayat 6 yang bermaksud;  “tempatkanlah isteri-isteri itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu”.
Sebagai ketua keluarga , suami wajib menyediakan tempat tinggal untuk ahli keluarganya berlindung.Tempat tinggal yang disediakan mestilah selesa dan tidak mendedahkan ahli keluarganya kepada bahaya seperti gangguan manusia dan haiwan,mempunyai infrastuktur yang mencukupi seperti bekalan eletrik  dan air.Sesuai dengan tuntutan  kehidupan zaman ini.Tempat tinggal juga menjadi sumber ketenangan kepada ahli-ahli di dalamnya.Wujud suasana tenang akan mengeratkan lagi hubungan sesama mereka.Oleh itu keselesaan,kebersihan dan keaturan mestilah diutamakan.Tidak perlu dilonggokkan bermacam-macam perhiasan mewah untuk menimbulkan suasana yang tenang.Bersih,teratur dan kemas sudah memadai membentuk ketenangan di dalam jiwa ahlinya.
Perkara kedua yang perlu diambil perhatian penting oleh setiap lelaki yang bercita-cita menjadi suami ialah pemberian nafkah kepada isterinya.Suami berkewajipan memberi nafkah kepada isteri menurut kadar kemampuannya.Dalam ertikata lain ia memberi maksud berdosa jika tidak ditunaikan nafkah kepada tanggungannya itu.Nafkah pula  berbentuk nafkah zahir dan nafkah batin. Hal ini telah ditegaskan di dalam surah at-Talaq ayat 7 yang bermaksud ;
“ hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya..”
Pengertian nafkah ini termasuklah dari segi makan minum,pakaian dan peralatan yang munasabah sesuai bagi keperluan seorang isteri mengikut kemampuannya.Sabda Rasulullah SAW
“…dan wajib ke atas kamu memberikan mereka (isteri-isteri) mereka dan pakaian mereka dengan baik”.
Manakala nafkah batin dapat diertikan sebagai hubungan seksual suami isteri.Tetapi jika boleh diperluaskan lagi maksudnya kasih sayang,adil,bertimbang rasa juga dinisbahkan sebagai nafkah batin.
Seharusnya para suami telah memaklumi akan tanggungjawab memberi nafkah kepada isterinya.Ini termasuk juga keperluan asas bagi si isteri apabila hak walinya telah diserahkan kepada lelaki yang bergelar suami kepada anaknya. Menghairankan jika bertahun-tahun tinggal bersama ibubapanya, diberi makan minum,pakaian dan tempat tinggal tetapi sebaik mendirikan rumahtangga hak menanggung keperluan yang dinyatakan tidak diambil berat oleh pihak suami.
Pihak suami juga wajarlah menerangkan kepada isteri , kemampuan dirinya dalam menyediakan segala bentuk yang berkaitan nafkah.Kejujuran dalam menjelaskan hal-hal yang berkaitan kerumitan rumahtangga adalah lebih baik dari menyembunyikan hakikat ketidakmampuan pemberian nafkah .Boleh jadi sikap ini melapangkan isteri dan seterusnya bersama-sama mengambil usaha untuk mengurangkan beban pasangan.
Perkara ketiga ,seorang suami perlu berlaku adil dalam menangani apa juga permasalahan yang timbul.Seorang suami hendaklah mempunyai sikap bertimbang rasa,berlemah lembut,bermanis muka dan sentiasa menghargai pasangannya.Tidak dinafikan akan wujud pergeseran kecil di dalam sejarah rumahtangga yang dibina.Sikap suami dalam menangani pergeseran ini dengan bijak dan matang akan dipandang tinggi dan dihormati pasangannya.Pergeseran itu jangan diperbesarkan.Suami perlu menahan diri dari menyakiti dan bertindak kasar dengan perbuatan yang boleh memudaratkan isteri.Jika isteri perlu untuk menziarahi atau diziarah oleh pihak keluarganya berilah izin.  
Keempat,sebagai pemimpin , suami juga punya peranan merapatkan hubungan kekeluargaan baik di pihaknya,mertua dan masyarakat sekeliling.Apatah lagi di pihak isteri kerana beliau telah diamanahkan menjaga anak keluarga mertuanya.Ikatan kekeluargaan yang kukuh di kedua-dua belah pihak dapat menimbulkan sifat saling hormat menghormati.Sebagai tauladan di dalam memimpin rumahtangga suami tidak boleh melepaskan urusan rumahtangganya kepada pihak isteri semata-mata.Suami mesti mempunyai sikap saling membantu isteri menyelesaikan kerja-kerja rumah.Dalam konteks perkerjaanpun ,seorang ketua di pejabat mesti mengambil tahu perjalanan kerja orang bawahannya sesuai dengan objektif organisasi.Begitu juga di alam rumahtangga suami mesti mengambil tahu perjalanan urusan rumahtangga.Suami tidak tahu apa yang telah dilalui oleh isteri dalam urusan rumahtangga sepanjang hari.Kesulitan yang dilaluinya adakala tidak terdaya diselesaikan oleh kudrat seorang wanita.Sebagai suami kesediaan memberi bantuan menyelesaikan kerja-kerja rumah akan menjemput rasa hormat isterinya.
Kelima, suami juga berperanan membawa ahli keluarga ke arah kehidupan berlandaskan syarak.Sebagai ketua keluarga,adalah penting didikan keagamaan menjadi keutamaan kehidupan.Nilai-nilai murni mesti diterapkan sewaktu kecil dan berterusan hingga ke akhir hayat kerana ia merupakan elemen penyelesaian secara holistik.Asmah Bee Mohd Nor (2003) telah menjelaskan berkenaan ini , “pengetahuan tentang hal-hal keagamaan dipentingkan dalam sesebuah keluarga Islam,disebabkan pengetahuan keagamaan ini akan dapat menjadikan individu dapat berfikir dan bertindak sesuai dengan fitrah insaniah yang diberikan oleh Allah swt kepada umatnya di mukabumi ini.”
3.         FAKTOR-FAKTOR PERCERAIAN.
Namun seperti fakta awal perceraian yang dinyatakan  di atas tadi lebih sedekad yang lalu jumlah perceraian telah meningkat lebih dari 200,000 kes dan lebih daripada 80 peratus perceraian melibatkan usia perkahwinan di bawah 10 tahun. Statistik perceraian yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia sejak tahun  2003 hingga Disember 2013 telah direkodkan sebanyak 581,505 kes telah didaftarkan.Kes perceraian di bawah seksyen 47 Enakmen Keluarga Islam Negeri  direkodkan sebanyak 16,865 kes.Kes fasakh di bawah seksyen 52 sebanyak 5,528,manakala pengesahan cerai luar mahkamah menyumbang kepada 12,111 dan tebus talak atau khulu’ sebanyak 86 kes.Mengapa ini terjadi ?.Tugasan ini akan mengupas empat faktor utama yang menjadi punca perceraian.
Secara umumnya, faktor yang menyumbang kepada perceraian ini amat banyak.Hambatan kehidupan di zaman sains dan teknologi dan kepesatan teknologi maklumat ini boleh diibaratkan dunia tanpa sempadan yang memberi kesan kepada struktur sosial kehidupan.Manusia dapat berhubung tanpa had waktu dan geografi.Faktor utama di sini yang dapat disimpulkan ,pertamanya keagamaan atau budaya,seksual,kewujudan pihak ketiga dan akhirnya suami atau isteri yang tidak bertanggungjawab.
Faktor pertama menyumbang ke arah perceraian adalah disebabkan kurang atau tiadanya penghayatan nilai-nilai murni hidup beragama dalam kehidupan suami isteri.Kurang penghayatan ini mengakibatkan pengabaian tanggungjawab antara suami dan isteri.Ini akan menjurus kepada pengabaian solat yang merupakan  pengikat jiwa hamba dan Allah swt dan seterusnya mengikat kerukunan hidup suami dan isteri.Apabila hati telah jauh dari rahmat Allah maka berlakulah pengabaian nafkah,pengabaian mendidik isteri dan anak-anak.Pemberian nafkah tidak lagi menjadi tanggungjawab suami .Maka berlakulah situasi di mana isteri-isteri terpaksa mencari nafkah sendiri dengan bekerja di pusat-pusat perniagaan , kilang-kilang , berniaga kecil-kecilan dan sebagainya.Apa yang lebih membimbangkan ada isteri-isteri yang terpaksa menjadi peminta sedekah.Suami pula beranggapan isteri boleh menyelesaikan masalah nafkahnya sendiri.Dan yang mengejutkan lebih daripada 60 peratus perceraian berpunca dari masalah ini.
Lebih malang lagi apabila terdapat pasangan suami isteri yang baru usia perkahwinannya mencecah lima tahun terpaksa bercerai berai disebabkan masalah ini.Sedangkan pasangan muda telah diberi pendedahan mengenai tanggungjawab memberi nafkah.Kursus-kursus pra perkahwinan juga telah menerapkan kepentingan menafkahi isteri sesuai dengan ajaran islam. Kemungkinan pengabaian disebabkan hutang yang banyak menjadi punca.
Faktor kedua yang menyumbang kepada perceraian ialah wujudnya orang ketiga.Kewujudan orang ketiga ini bukanlah kekasih gelap semata-mata tetapi  sikap ahli keluarga pasangan juga menjadi punca.Seringkali kedengaran gara-gara wujudnya orang ketiga ini menyebabkan porak perandanya rumahtangga.tiada kebahagian berumahtangga akibat tertekan dengan sikap tidak bertanggungjawab pasangan menyebabkan suami atau isteri mudah menceritakan aib pasangannya kepada orang yang tidak bertanggungjawab.Jika isteri menceritakan permasalahan pasangannya kepada rakan lelaki dan begitu juga sebaliknya ini akan mengundang bahaya besar.
Banyak telah didedahkan di media cetak tentang orang-orang yang tidak bertanggungjawab ini menangguk di air keruh.Permulaannya disebabkan simpati dengan nasib yang menimpa rakan sekerja.Tetapi akhirnya mengambil peluang atas kesusahan  orang lain dengan menjalin hubungan dengan suami atau isteri orang.Kononnya menjadi pendengar yang setia.Suami atau isteri pula begitu mudah meletakkan kepercayaan kepada orang lain apabila berkongsi masalah rumahtangga.Sikap ini lama-kelamaan mewujudkan kepercayaan tidak mengapa dan rentetan itu berlakulah keluar makan bersama,berkongsi kereta bersama.Perkara yang menjadi rahsia suami isteri habis diceritakan kepada orang lain.Menjadi lebih parah apabila timbulnya perasaan simpati dan sayang kepada yang menceritakan masalah.
Di kalangan keluarga terdekat juga menjadi punca keretakan hubungan antara suami dan isteri.Lazimnya, keluarga mempunyai sikap melindungi terhadap anak-anak atau mempunyai ikatan kekeluargaan.Tidak dinafikan sikap ini bagus tetapi ia sesuai untuk situasi yang lain.Dalam konteks kerukunan rumahtangga tidak sepatutnya ahli keluarga yang lain masuk campur urusan rumahtangga dan kemudian  menghasut pasangan suami isteri supaya bercerai.Memang perlu ahli keluarga mengambil tahu situasi pergolakan rumahtangga pasangan tetapi berfungsi hanyalah untuk menasihati pasangan terbabit berbaik semula.
Faktor ketiga ialah tiadanya sikap bertanggungjawab suami atau isteri dalam kehidupan rumahtangga yang dibina.Adalah menghairankan sebelum berkahwin pasangan muda bercinta umpama mereka sahajalah yang wujud di dunia ini. Ke mana pergi hanya berdua dan berjanji setia.Namun hidup tidak sebumbung tidaklah sama ketika sudah menjadi pasangan suami isteri.Semuanya menuntut perkongsian bersama termasuk sikap baik dan buruk pasangan.Panas tidak sampai ke petang.perceraian juga jalan terakhir.
Mengapa ini berlaku?Sebenarnya keseronokan semasa bercinta bukanlah isyarat kebahagian rumahtangga yang akan dibina. Di dalam rumahtangga wujud unsur perkongsian hidup bermula dari sekecil-kecil perkara hingga ke yang lebih besar.Wujud tanggungjawab yang besar kerana masing-masing ada peranan yang diamanahkan.Tanggungjawab inilah yang lazimnya pasangan muda selalu abaikan kerana masih terbawa-bawa corak hidup bebas sebelum pernikahan.Sesetengah daripada mereka tidak bersedia apabila berdepan tanggungjawab seperti menemani isteri ke hospital,membeli barangan keperluan dapur dan lain-lain keperluan rumahtangga.
Pasangan muda yang mendirikan rumahtangga lazimnya tidak matang dari segi pemikiran.Memang benar mereka telah aqil baligh dan layak untuk bernikah di bawah peruntukan 18(1),(a) Enakmen Undang-Undang keluarga Islam negeri.Tetapi dalam menghadapi kegawatan rumahtangga  bukan aqil baligh saja ramuan untuk mengekalkan keharmonian dan kebahagian rumahtangga berterusan.Ia juga perlu kepada kematangan dalam berfikir dan mengambil keputusan.Prof. Datuk  Dr. Sidek Baba menjelaskan dalam Harian Metro bertarikh 12 Disember 2013 , “Perkahwinan itu adalah ikatan dua jiwa.Sekiranya mereka tidak serasi dalam perhubungan,maka pemikiran yang baligh itulah yang akan menjadi tonggak keutuhan dalam rumahtangga bagi mencari penyelesaian terhadap sesuatu masalah yang dihadapi.”
Rentetan dari itu timbullah berbagai karenah pasangan di dalam mencari jalan keluar kepada kemelut rumahtangga.Pasangan muda mengambil jalan mudah dengan tidak mengendahkan lagi tanggungjawab yang sepatutnya diutamakan.Suami akan mencari rakan-rakan sebaya lalu berhibur seperti kehidupan bujang dulu.Isteri pula tidak lagi kisah dengan tanggungjawabnya dan kembali ke pangkuan keluarga.Masing-masing mengambil jalan mudah dan tidak lagi berfungsi sebagai suami dan isteri yang matang.
Akhir sekali faktor keempat iaitu faktor seksual.Sudah tentu antara tuntutan pernikahan adalah menghalalkan hubungan seksual antara lelaki dan wanita,kerana di situ wujudnya sikap kebertanggungjawaban antara kedua-dua pasangan.Pasangan pula mencari kepuasan dalam hubungan fizikal dan batin demi kebahagian jiwa.Fitrah manusia sudah sewajarnya puas apabila tuntutan seksualnya dipenuhi.Tidak hanya tertakluk kepada manusia bahkan haiwan juga bisa memberontak jika tidak mendapat pasangannya.
Oleh itu pasangan muda yang mendirikan rumahtangga perlu meneliti kehendak batiniah terhadap pasangan masing-masing.Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Tan Sri Dr. Ibrahim Lembut , kedinginan pasangan terhadap satu sama lain,tiada kepelbagaian dalam seks dan tiada kepuasan seksual antara punca tertinggi dalam menyumbang kepada perceraian.Mereka mengambil mudah isu ini disebabkan ia suatu isu yang eksklusif dan tidak wajar dibincangkan bersama pasangan,orang tuanya atau mereka yang pakar.Budaya timur sebelah sini juga  tidak menjadikan ia sebagai satu perkara yang wajar diperbincangan umum.Berbeza pula negara di sebelah barat, mereka lazim dan berasa perlu isu ketidakpuasan dalam hubungan seksual dibincangkan secara terbuka sesama pasangan.
Apabila tidak mencapai kepuasan dalam hubungan seksual ia akan menjurus kepada kecacatan jiwa.Akibatnya membawa kepada kemurungan.Si suami umpamanya tidak berpengalaman dan tidak berbincang bagaimana cara yang boleh membawa kepada kepuasan seksual pasangannya begitu juga sebaliknya.Si suami pula malu untuk merujuk kepada pakar jika terdapat kelemahan diri dari segi hubungan intim bersama isteri.Perkara ini memang tampak terlalu peribadi dan isu rahsia alam rumahtangga tetapi natijah yang membawa kepada perceraian amatlah tinggi.

4.         CIRI-CIRI SUAMI YANG SEMPURNA.
Konklusif kepada kegawatan rumahtangga dan faktor-faktor yang menyumbang ke arah perceraian sebenarnya ada penawarnya.Islam itu sendiri membawa maksud selamat.Sudah tentu individu yang  menjiwai ajaran-ajaran Islam dan dipratikkan di dalam rumahtangga dapat menghindari dari berlaku sedemikian.Rasulullah SAW, merupakan role model kepada semua suami yang berhasrat mempunyai sebuah rumahtangga yang aman bahagia,harmoni dan saling mengasihi ,syurga yang didekatkan.
Baginda Rasulullah SAW adalah suri teladan kepada kita kerana baginda adalah individu agung yang telah menunjukkan sifat-sifat terpuji sebagai pemimpin rumahtangga.Bukan saja sejarah telah merakamkan kemuliaan baginda sebagai suami yang penyabar,berkasih sayang,menghargai isteri-isterinya,menghormati mereka malah Allah swt juga telah membenarkan seperti dalam firmannya dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud;
 “ demi sesungguhnya,adalah bagi kamu pada rasulullah itu contoh ikutan yang baik,iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) di hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingat Allah sebanyak-banyaknya (dalam masa susah dan senang)”
Pertama, jelas terlihat bagaimana rasulullah sendiri berhadapan dengan kaum wanita lebih-lebih lagi para isterinya.Sifat amanah merupakan salah satu ciri suami yang terbaik kerana ia merupakan kunci kepada kebahagian rumahtangga,malah Rasulullah sendiri berpesan kepada kaumnya tentang amanah Allah yang telah diambil seperti di dalam khutbah Haji Perpisahan pada 10 Hijrah “bertakwalah kepada Allah dalam soal wanita kerana kamu telah mengambil mereka dengan amanah Allah.”
Sebagai suami sepatutnya kita bersikap amanah sebegitu.Apabila mendirikan rumahtangga seorang lelaki bergelar suami perlu sedar bahawa dia telah menerima amanah dari bapa mertuanya dan juga amanah Allah bagi memimpin isteri dan anak-anaknya.Seorang suami yang sedar peri pentingnya amanah ini tidak akan mensia-siakan anugerah nikmat berumahtangga yang telah diberikan kepadanya.
Kedua,Rasulullah SAW dikenali sebagai seorang yang tinggi tahap kesabarannya.Ini jelas seperti yang diberitahu oleh isterinya Saidatina Aisyah ,“Rasulullah tidak pernah sekalipun memukul isteri dan pembantunya.” (hadis riwayat Bukhari).Sememangnya sifat penyabar Rasulullah itu bukan sahaja membawa kesan di dalam kehidupan berkeluarganya malah ke atas dakwah baginda juga.Sebagai suami ,amat  wajarlah kita memiliki sifat sabar.Sabar menghadapi karenah isteri yang berbagai yang kadangkala tidak terjangka wujud pengeseran antara dua jantina yang berlainan fitrahnya.Wanita pula dilahirkan memiliki sifat yang sensitif  terhadap persekitaran terutama emosi dalamannya.Ini berkait rapat dengan hormon yang kadangkala menjadikannya tidak stabil dari segi jasmani dan mentalnya.Di sinilah perlunya kebijaksanaan dan kesabaran dalam mendidik isteri.Suami tidak harus terikut-ikut dengan rentak emosi isteri.Didiklah dengan penuh kesabaran dengan kekuatan akal yang telah Allah kurniakan seperti kisah seorang wanita yang bertanya tentang haid,lalu Rasulullah SAW menjawab;
“Ambillah sepotong kain perca yang sudah dikasturikan lalu berwuduk dengannya.” Perempuan itu terpinga-pinga kerana tidak memahami keterangan Rasulullah. Lantas dia mengulangi lagi pertanyaannya: “Bagaimana saya hendak berwuduk dengan itu?” Sekali lagi Rasulullah mengulangi jawapan baginda. Tetapi perempuan yang bertanya masih belum memahaminya. Lalu Rasulullah SAW meminta kepada Siti Aishah r.a. supaya menerangkan kepada perempuan itu. Maka Siti Aishah pun berkata: “Ambil sepotong kapas yang bersih, lalu letakkan di tempat darah. Jika kapas itu tetap putih tanda haid sudah berhenti.”
Begitulah akhlak yang wajar dicontohi,tidak mudah melenting dengan sikap isteri yang sememangnya lemah ketika mereka berada dalam situasi berhadas contohnya.

            Ketiga,didiklah isteri dengan penuh kasih sayang.Mereka adalah teman hidup yang telah ditakdirkan untuk kita.Sudah tentu punya banyak kelebihan dan kekurangannya.Cara pemikiran dan pandangan wanita tidak sama dengan lelaki yang berfikir secara lurus.Ada keputusan dalam rumahtangga dibuat tanpa melihat kesan sebaliknya.Mendidik dengan kasih sayang bermakna membetulkan tindakan isteri yang tidak selari tanpa si isteri sedari yang mereka telah berbuat salah.Sudah tentu ini memerlukan kebijaksanaan suami.Suami yang sentiasa mengharapkan rahmat Allah sudah tentu ditunjukkan jalan penyelesaiannya.

            Cuba lihat bagaimana Rasulullah SAW mendidik isteri-isteri baginda dengan penuh kasih sayang dan kebijaksanaan ketika baginda ditanya ,isteri yang manakah yang paling disayangi.Rasulullah tidak menjawab tetapi meminta isteri-isteri baginda pulang dahulu dan akan diberitahu kemudian mengikut giliran masing-masing.Seperti biasa setelah menggiliri bermalam di rumah isteri-isteri,baginda akan meninggalkan sebentuk cincin  dan meminta perbuatan itu dirahsiakan.Itulah yang dilakukan kepada semua isteri-isteri baginda.Tiba pada hari yang ditetapkan baginda ditanya lagi dan sudah tentu Aisyah merasakan beliaulah yang paling disayangi kerana dia antara termuda di kalangan isteri-isteri baginda.Lalu Rasulullah menjawab,isteri yang disayangi adalah mereka yang telah diberi cincin .Sudah tentu isteri-isteri baginda tersenyum tanpa mengetahui kesemuanya menerima cincin.

            Keempat,Rasulullah dikenali kerana baginda suka menghormati orang lain,bahkan haiwan dan kafir Quraisy juga mendapat penghormatan baginda.Jika isteri bersalah sekalipun tidaklah layak ianya dipukul kerana sekali ia dipukul bermakna penghinaan yang berbekas di hati isteri.Isteri beranggapan bahwa ia tidak membawa makna dalam kehidupan suaminya kerana menjadi tempat melepaskan kemarahan.Begitu juga tidak pantas seorang suami melafazkan kata-kata cerca dan nista kepada isteri lebih-lebih lagi di hadapan umum.Kita lihat bagaimana Rasulullah menghormati isterinya ketika baginda pulang dari perjalanan jauh di pagi hari dengan perut kelaparan lantas bertanyakan kepada Aisyah sekiranya ada makanan yang boleh dimakan.Aisyah memberitahu mereka tidak punya makanan dan Rasulullah mengambil keputusan untuk berpuasa pada hari tersebut. Jelas menunjukkan bahawa baginda tidak mahu menyusahkan isterinya menyediakan makanan untuknya.

5.         KESIMPULAN.

            Demikianlah beberapa solusi yang dapat dijadikan iktibar untuk para suami mengamalkan sebagai persediaan berumahtangga.Sebenarnya ada banyak kaedah yang boleh diambil melalui tunjuk ajar Rasulullah.Persengketaan di dalam rumahtangga merupakan lumrah kerana di situ terkumpul dua jiwa yang berlainan naluri dan emosi.Bagaimana persengketaan ditangani haruslah bagi suami sebagai nakhoda mempunyai kebijaksanaan cara berfikir dan memutuskannya.Persediaan berumahtangga menuntut suami bersedia dari segala segi kerana ia merupakan amanah dan paling penting kebijaksanaan.

            Namun jika dilihat kesemua permasalahan perceraian yang berlaku pada hari ini ia sebenarnya menjurus kepada iman.Pada hemat saya,iman merupakan paksi teguh yang dapat membina jati diri seorang lelaki menjadi suami yang bertanggungjawab bukan hanya kepada orang bawahannya malah bertanggungjawab juga kepada dirinya sendiri.Iman dapat membentuk jiwa sukakan kehidupan berlandaskan ajaran-ajaran murni Islam di segenap segi lapangan kehidupan termasuk alam rumahtangga.Iman pula dapat dibentuk dengan mempelajari ilmu yang mengenal tuhan dan mencintainya,mencintai rasulnya lebih dari segala-galanya.

            Oleh yang demikian saranan saya,pasangan muda yang berhasrat mendirikan rumahtangga yang bahagia perlu memperlengkapkan diri dengan ilmu rumahtangga yang sebenarnya dengan panduan kehidupan rumahtangga baginda Rasulullah SAW.Kursus perkahwinan umpamanya, boleh menyelitkan modul ceramahnya dengan menjadikan sirah nabawiyah sebagai rujukan bagaimana Rasulullah SAW mentadbir rumahtangga.ia tidak wajar disampaikan sekali lalu tanpa kupasan mendalam kehidupan rumahtangga baginda.Pasangan muda juga perlu diterapkan proses pembelajaran yang berterusan.Jika anda sayangi pasangan anda pada hari ini dan tidak mahu berpisah di hujungnya selama hayat anda maka hayati ilmu-ilmu ajaran islam yang murni ini.

                                                                                                            (3100 patah perkataan)

APENDIX
SENARAI RUJUKAN.
Tafsir al-Qur’an al-Karim
Safiyyu Rahman.(2011).Sirah Nabawiyyah. Kuala Lumpur:Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.
Nasih Ulwan A.(1993).Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam.Singapura:Pustaka Nasional Pte.Ltd.
Mohd.Nor Manuty,Asmah Bee Mohd Nor,Noraini Ahmad,Jawiyah Dakir,Sarijah Haji Bejo,Kamilia Ibrahim,et al.,(2001).Keluarga Bahagia Yang Diidamkan.Kuala Lumpur:Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.
Rubiah K.Hamzah.(2010).Rawatlah Hati.Shah Alam:Karya Bestari
Kerajaan Malaysia.(1984).Akta Undang-Undang Keluarga Islam(Wilayah Persekutuan):Kuala Lumpur,Percetakan Nasional Malaysia Berhad.
Haika Khazi.(2011,September 7).200,000 Daftar Cerai:Berita Harian.Retrieved Disember 10,2014,from http://sukawebnsso.penang.gov.my/pkn/Akhbar.nsf/ff4f9fa0a2840a8b482575e6002c4ea0/3b23d34dea3f22cc482579060008e780/$FILE/scan0001.pdf.
Hasimi Muhamad.(2013,Disember 12).Kahwin Muda:Bersediakah?:malaysiandigest.com.Retrieved Disember 11,2014,from http://www.malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/481480-kahwin-muda-bersediakah.html.


No comments:

Post a Comment