08 May 2009

Salahudin al-Ayubi..sambungan

Peperangan Salib di Hittin

Satu siri peperangan yang sengit telah berlaku antara tentera Salahuddin dengan
tentera Salib di kawasan Tiberias di kaki bukit Hittin. Akhirnya pada 24
Rabiul-Akhir, 583 H, tentera Salib telah kalah. Dalam peperangan ini Raja
Kristian yang memerintah Palestin telah dapat di tawan beserta adiknya Reginald
dari Chatillon. Pembesar-pembesar lain yang dapat ditawan ialah Joscelin dari
Courtenay, Humphrey dari Toron dan beberapa orang ternama yang lain. Ramai juga
tentera-tentera Salib berpangkat tinggi telah tertawan. Stanley Lane-Poole
menceritakan bahwa dapat dilihat seorang tentera Islam telah membawa 30 orang
tentera Kristian yang ditawannya sendiri diikat dengan tali khemah.

Mayat-mayat tentera Kristian bertimbun-timbun seperti batu di atas batu di
antara salib-salib yang patah, potongan tangan dan kaki dan kepala-kepala
manusia berguling seperti buah tembikai. Dianggarkan 30,000 tentera Kristian
telah mati dalam peperangan ini. Setahun selepas peperangan, timbunan tulang
dapat dilihat memutih dari jauh.

Kecintaan Salahuddin Al-Ayubi kepada Islam

Peperangan Hittin telah menyerlahkan kecintaan Salahuddin kepada Islam. Stanley
Lane-Poole menulis bahawa Salahuddin berkhemah di medan peperangan semasa
peperanggan Hittin. Pada satu ketika setelah khemahnya didirikan
diperintahkannya tawanan perang dibawa ke hadapannya. Maka dibawalah Raja
Palestin dan Reginald dari Chatillon masuk ke khemahnya. Dipersilakan sang Raja
duduk di dekatnya.

Kemudian ia bangun pergi ke hadapan Reginald lalu berkata, "Dua kali aku telah
bersumpah untuk membunuhnya. Pertama ketika ia bersumpah akan melanggar dua
kota suci dan kedua ketika ia menyerang jamaah haji. Ketahuilah aku akan
menuntut bela Muhammad SAW atasnya". Lalu ia menghunuskan pedangnya dan
memenggal kepala Reginald. Mayatnya kemudian dibawa keluar oleh pengawal dari
khemah.

Raja Palestin apabila melihat adiknya dipancung, ia mengeletar kerana menyangka
gilirannya akan tiba. Tetapi Salahuddin menjamin tidak akan mengapa-apakannya
sambil berkata, "Bukanlah kelaziman seorang raja membunuh raja yang lain,
tetapi orang itu telah melanggar segala batas-batas, jadi terjadilah
apa yang telah terjadi".

Tindakan Salahuddin adalah disebabkan kebiadaban Reginald kepada Islam dan Nabi
Muhammad SAW. Bahauddin bin Shaddad, penasihat kepercayaan Salahuddin
mencatatkan bila jamaah haji dari Palestin diserang dicederakan tanpa belas
kasihan oleh Reginald, di antara tawanannya merayu supaya mereka dikasihani.
Tetapi Reginald dengan angkuhnya mengatakan, "Mintalah kepada Nabi kamu,
Muhammad, untuk menyelematkan kamu". Ketika ia mendengar berita ini ia telah
berjanji akan membunuh Reginald dengan tangannya sendiri apabila ia dapat
menangkapnya.

Salahuddin Menawan Baitul Muqaddis

Kemenangan peperangan Hittin telah membuka jalan mudah kepada Salahuddin untuk
menawan Baitul Muqaddis. Bahauddin telah mencatatkan bahawa Salahuddin
sangat-sangat berhajat untuk menawan baitul Muqaddis hinggakan bukitpun akan
mengecut dari bebanan yang dibawa di dalam hatinya. Pada hari jumaat, 27 Rajab,
583H, iaitu pada hari Isra' Mi'raj, Salahuddin telah memasuki banda suci tempat
Rasulullah SAW naik ke langit.

Dalam catatan Bahauddin ia menyatakan inilah kemenangan atas kemenangan. Ramai
orang yang terdiri dari ulama, pembesar-pembesar, peniaga dan orang-orang biasa
datang merayakan gembira kemenangan ini. Kemudiannya ramai lagi orang datang
dari pantai dan hampir semua ulama-ulama dari Mesir dan Syria datang untuk
mengucapkan tahniah kepada Salahuddin. Boleh dikatakan hampir semua
pembesar-pembesar datang. Laungan "Allahhu Akbar" dan "Tiada tuhan melainkan
Allah" telah memenuhi langit.

Selepas 90 tahun kini sembahyang Jumaat telah diadakan semula di Baitul
Muqaddid. Salib yang terpampang di 'Dome of Rock' telah diturunkan. Betapa
hebatnya peristiwa ini tidak dapat digambarkan. Hanya Allah sahaja yang tahu
betapa hebatnya hari itu.

No comments:

Post a Comment